Saturday, 30 November 2013
Pisang Goreng, Cakoi, Keropok Lekor dan Popia.
Cakoi, keropok lekor, pisang goreng dan popia membuatkan saya mengimbau kembali suasana ketika berada di rumah. Makanan-makanan ini menjadi sajian buat saya hampir setiap hari. Menikmati pisang goreng hasil masakan ibu sendiri lebih bermakna daripada segala makanan yang ada. Kerana ia boleh mengubat segala kerinduan yang ada terhadap keluarga.
Sunday, 24 November 2013
Rumah Seri Kenangan Cheng.
Melihat keadaan orang tua yang diabaikan oleh anak mereka sememangnya memilukan. Melihat tangisan dan kesunyian mereka sudah cukup membuatkan hati saya tersentuh. Saya bersama rakan-rakan melakukan lawatan dan kerja amal di Rumah Seri Kenangan Cheng, Melaka ketika tahun 2009. Lawatan ini mengajar saya bahawa terdapat segelintir manusia di dalam dunia ini yang sanggup membuang ibu bapa yang telah tua daripada kehidupan mereka!
Monday, 18 November 2013
Kerana Janji.
Seharusnya setiap manusia harus berhati-hati dalam kata-katanya. Tidak bercakap besar kerana kelak ia akan memakan diri. Seharusnya tidak berjanji apabila senang dan tidak membuat keputusan apabila marah. Saya membelanja dua orang rakan saya makan kerana terpaksa mengotakan janji yang telah saya buat sebelum ini. Janji harus ditepati!
Friday, 15 November 2013
Banjir.
Ia menjadi suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan apabila terperangkap dalam banjir. Pada suatu malam ketika makan bersama rakan-rakan di sebuah restoran, hujan turun dengan lebatnya dan paras air semakin lama semakin naik. kami terperangkap seketika dan terpaksa menunggu dalam jangka masa satu jam sebelum banjir reda. Situasi ini berlaku di kawasan yang berdekatan dengan Stesen KTM UKM.
Tuesday, 12 November 2013
Jamuan Tingkatan 6.
Sudah menjadi kewajipan bagi pelajar tingkatan 6 SMK Seri Bedena mengadakan jamuan untuk meraikan 'senior' mereka. Dalam majlis ini saya dan rakan-rakan adalah insan-insan yang diraikan. Jamuan ini juga menjadi medium untuk melegakan tekanan kerana tarikh STPM semakin hampir. Kami bersama guru-guru diraikan dalam majlis jamuan yang agak meriah di Homestay Sungai Haji Dorani.
Saturday, 9 November 2013
Kerana Facebook.
Tidak sangka sama sekali perkenalan di alam maya membawa pertemuan di alam nyata. Saya bersama rakan-rakan Facebook dan pertemuan ini merupakan pertemuan kami buat kali pertama. Kami berkenalan di dalam grup Komuniti Tingkatan 6 Selangor. Gambar ini diambil ketika mereka mengunjungi rumah saya pada Hari Raya Aidilfitri 2012. Moga ukhwah terus berkekalan.
Wednesday, 6 November 2013
Selepas STPM.
Foto ini diambil bersama bapa saya di sekolah. Nostalgia ini tercipta dalam majlis perhargaan pelajar SPM dan STPM. Ketika itu, saya salah seorang pelajar terbaik STPM SMK Seri Bedena. Sijil serta cenderamata disampaikan oleh wakil Pejabat Pelajaran Daerah dan Ahli Parlimen Sungai Besar.
Monday, 4 November 2013
'Mini Gathering'.
Saya bersama rakan-rakan tingkatan 5 ketika 'mini gathering' kami. Perjumpaan ini diadakan bagi bertemu semula dengan rakan-rakan yang telah lama terpisah sejak SPM kerana membawa haluan masing-masing. Majlis yang ringkas ini diadakan di Restoran D'Muara Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.
Saturday, 2 November 2013
Bila lelaki memasak.
Saya dan rakan-rakan bersepakat mahu mencuba menguji kemahiran memasak kami. Kami mengambil keputusan ini kerana telah jemu dengan menu di kafetaria kolej. Ternyata hasilnya tidak mengecewakan, kami mempunyai kemahiran memasak yang agak baik. Ia menjadi pengalaman unik yang tidak dapat dilupakan kerana bila lelaki memasak pelbagai perkara boleh berlaku.
Friday, 1 November 2013
Sukan tahunan sekolah.
Salah satu nostalgia semasa tingkatan enam. Foto ini diambil ketika saya mengetuai perbarisan rumah sukan dalam sukan tahunan sekolah. Pada tahun itu, rumah sukan mengambil nama sempena nama keenam-enam Perdana Menteri Malaysia dan saya mewakili rumah sukan Tun Hussein Onn. Ia menjadi pembakar semangat kepada wakil rumah sukan kami untuk berusaha bersungguh-sungguh bagi memenangi sukan tahun sekolah pada tahun 2011.
Thursday, 31 October 2013
Perjumpaan Semula di Teluk Kemang.
Ini merupakan salah satu nostalgia yang telah tercipta. Gambar ini diambil ketika perjumpaan semula atau reunion bersama rakan-rakan semasa di tingkatan 3. Kami mengadakan perjumpaan ini di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan membuat barbeku bersama-sama. Perjumapaan ini berjaya mengumpulkan seramai 30 orang.
Tuesday, 29 October 2013
Jalinan Ukhwah.
Mempunyai teman sebilik yang memahami dan serasi merupakan salah satu memori indah di UKM. Hubungan kami yang rapat sejak minggu orentasi membuatkan kami serasi bersama. Kami selalu berkongsi masalah, suka dan duka. Foto ini diambil ketika kami menikmati juadah nasi kerabu bersama-sama di dalam bilik. Ia merupakan salah satu cara kami untuk merapatkan ukhwah sebagai teman sebilik.
Friday, 25 October 2013
Malam Sanjungan Bakti.
Menjadi satu memori indah ketika saya menyertai majlis makan malam PERMANIS yang dikenali sebagai Malam Sanjungan Bakti (MASTI). Program yang dibuat di Bangi Golf Resort ini diadakan bagi meraikan mantan Majlis Tertinggi dan Exco pada sesi lepas. Majlis ini dihadiri oleh penasihat PERMANIS dan kami sempat mengambil gambar bersama sebagai tanda kenangan.
Wednesday, 23 October 2013
Ekspresi Mahasiswa Putrajaya.
Foto ini diambil ketika saya menyertai program Ekspresi Mahasiswa - Siswa Corner anjuran bersama UKM dan Majlis Belia Malaysia. Program ini bertempat di Putrajaya dan berjaya menarik ramai pengunjung terutama mahasiswa daripada universiti lain di Malaysia. Antara program yang diadakan ialah pertandingan deklemasi sajak, drama dan sebagainya.
Monday, 21 October 2013
Dinner Kolej Rahim Kajai.
Gambar ini diambil semasa majlis makan malam Kolej Rahim Kajai. Program ini merupakan acara tahunan dan dianjurkan bagi menghargai individu yang banyak berjasa di peringkat kolej. Makan malam yang meriah itu turut diserikan oleh artis jemputan iaitu Najwa Latiff. Program tersebut berjaya merapatkan ukhwah sesama rakan yang sama kolej kediaman.
Saturday, 19 October 2013
Photoshoot mewakili PERSURATAN MELAYU.
Saya bersama saudara Muhammad Haziq, Ishamul Bukhari, saudari Mawar Seri, Rosmanirah Rashid,dan Azimah Aziz telah dipilih oleh pensyarah kami iaitu Dr. Zubir Idris sebagai wakil dalam sesi photoshoot bagi Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu untuk jurusan Persuratan Melayu. Photoshoot ini turut dijalankan bersama pusat pengajian yang lain bersempena penjenamaan semula Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Ia merupakan suatu pengalaman yang baharu ketika belajar di UKM.
Thursday, 17 October 2013
OPKIM 2012
Pada Disember 2012, saya menyertai program Operasi Khidmat Masyarakat (OPKIM) di Felda Sungai Mas, Kota Tinggi, Johor anjuran Persatuan Mahasiswa Anak Johor. Program ini bertujuan mendekatkan hubungan antara mahasiswa dengan orang kampung dengan menabur bakti dalam khidmat masyarakat. Kami diberi keluarga angkat dan berinteraksi dengan mereka. Di samping itu, saya dapat melihat sendiri bagaimana keadaan Kota Tinggi, Johor yang sememangnya indah.
Tuesday, 15 October 2013
Melangkah Ke Alam Remaja.
Barisan Majlis Tertinggi dan Exco Persatuan Mahasiswa Negeri Sembilan (PERMANIS) mengadakan program berkhatan beramai-ramai yang dikenali sebagai Melangkah Ke Alam Remaja (MEKAR) di SK Nyatoh, Rantau, Negeri Sembilan. Program anjuran bersama dengan pihak sekolah ini disertai oleh 20 orang pelajar. Program ini yang dimulakan dengan sesi motivasi bertujuan untuk mempersiapkan diri pelajar untuk melangkah ke alam remaja yang penuh pancaroba. Pelbagai reaksi yang dapat dilihat ketika aktivit berkhatan dilakukan. Melihat pelajar-pelajar ini mengimbau kembali nostalgia saya ketika berkhatan dahulu.
Sunday, 13 October 2013
Family Day PERMANIS 2013.
Friday, 11 October 2013
Menyelusuri Adat Perpatih.
Saya bersama rakan-rakan melawat Muzium Adat Kuala Klawang untuk kerja lapangan subjek Adat Istiadat Melayu. Kami diiringi oleh dua orang pensyarah iaitu Encik Muammar Gadaffi Hanafiah dan Encik Yuszaidy Mohd Yusof. Lawatan kami bertujuan mengetahui dengan lebih lanjut mengenai Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan dan perbezaannya dengan Adat Temenggung. Kami mendapat banyak informasi berguna melalui lawatan ini.
Tuesday, 8 October 2013
Bila Allah Menduga Kita.
Ketika ke kedai buku pada suatu hari, tiba-tiba mata saya tertarik kepada buku ini lalu terus membelinya. Tajuk buku tulisan Syed Alwi Al-Attas ini begitu menusuk kalbu. Buku ini mengingatkan saya walaupun seberat manapun ujian yang Allah berikan kepada hambanya, ia mestilah dihadapi dengan penuh kesabaran. Allah menguji untuk melihat sejauh manakah tahap keimanan hambanya. Moga Allah redha.
Saturday, 5 October 2013
Gubahan Sapu Tangan
Untuk subjek Kraf Dan Dekorasi Melayu semua pelajar dikehendaki untuk membuat satu gubahan untuk pameran di pusat pengajian. Saya memilih gubahan sapu tangan sebagai gubahan yang dipamerkan dalam pameran tersebut. Membuatnya bukan mudah, ia memerlukan ketelitian dan daya kreatif yang tinggi. Hasilnya sederhana kerana hasil tangan seorang lelaki tidak sehalus hasil tangan seorang wanita.
Wednesday, 2 October 2013
pesta pantun UKM.
Pesta Pantun UKM merupakan salah satu memori yang tidak dapat dilupaka kerana ia begitu signifikan dalam hidup ini. ia merupakan satu titik perubahan yang penting kerana saya dapat belajar sesuatu yang baru. Menjadi pemantun bukanlah suatu yang mudah kerana ia menuntut daya pemikiran yang tajam, kreatif dan pantas. Ia juga bukan mudah kerana dalam pesta pantun UKM memerlukan pemantun menjawab pantun secara spontan dalam jangka masa selama 80 saat. saya bersama dengan 3 orang lagi rakan menjadi wakil untuk kelab pengajian melayu dalam pesta pantun tersebut. walaupun pasukan kami hanya berjaya layak ke pusingan kedua sahaja tetapi ia merupakan pencapaian yang agak baik dan kami berjaya menjawab pantun-pantun yang dijual dalam masa yang ditetapkan.Kami juga bertuah kerana mendapat bimbingan daripada pasukan Areeyazafana yang cukup dikenali dan digeruni dalam Pesta Pantun UKM. Secara peribadi, saya amat gembira dengan pencapaian tersebut kerana ia adalah kali pertama saya berpantun dalam seumur hidup.
Tuesday, 1 October 2013
lawatan ke muzium coklat.
pada 31.10.2013 saya bersama pelajar kos persuratan melayu yang lain telah melawat muzium coklat di damansara untuk matapelajaran penulisan kreatif dan untuk menjana idea mengenai tema nostalgia yang telah diberikan kepada kami. setelah mendengar taklimat ringkas oleh wakil pihak muzium, kami telah dipertontonkan tentang cara pembuatan coklat dari mula sehingga siap. ia merupakan suatu pengalaman yang berharga kerana tidak ramai yang mengetahui mengenai cara pembuatan coklat.
Monday, 30 September 2013
Minggu Orentasi.
Minggu pertama di UKM merupakan suatu yang meletihkan.. Ia merupakan minggu yang penuh dengan aktiviti bersama pihak kolej. Saya bersama-sama rakan dibawa melawat ke fakulti dan mengelilingi UKM. Suasana UKM yang tenang dan penuh dengan kehijauan pokok-pokok menarik perhatian saya.
Monday, 23 September 2013
Lawatan ke Muzium Alam Shah, Shah Alam.
Kami bersama pensyarah telah melawat ke muzium adat alam shah di shah alam pada 11.11.2013 untuk mengenali lebih dekat dan jelas lagi mengenai Adat Temenggung. taklimat ringkas yang diberikan oleh pihak muzium telah berjaya meningkatkan pemahaman kami mengenai Adat Temenggung yang sememangnya unik serta berlainan daripada Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Negeri Sembilan. kenangan itu sememangnya tidak dapat saya lupakan.
Sunday, 22 September 2013
saya sayang adik-adik saya..
Orang selalu cakap masa yang paling terindah dengan adik-beradik adalah semasa zaman kanak-kanak. Ketika itu semua aktiviti dilakukan bersama-sama baik makan mahupun bermain. Cuba anda fikir semula, adakah kini anda masih rapat dan banyak meluangkan masa bersama mereka dalam melakukan apa-apa sahaja aktiviti? Jika begitu, bersyukurlah.. Kebiasaannya adik-beradik akan membawa haluan sendiri apabila masing-masing sudah besar.
Aktiviti makan bersama-sama adik beradik merupakan sesuatu yang amat aku rindui. Namun suasana itu mungkin tidak dapat hidup semula kerana masing-masing sibuk dengan hal mereka sendiri. Aku juga rindu untuk memeluk dan mencium adik-adikku. Mungkin dahulu boleh tetapi tidak pada masa ini kerana halangan-halangan tertentu.
Ketika melihat gambar-gambar ini, terasa air mata mahu mengalir kerana indahnya zaman kanak-kanak yang tiada kepura-puraan di dalamnya..
Wednesday, 18 September 2013
tentang saya..
![]() |
| Gambar saya ketika kecil. Kanak-kanak sering mudah tersenyum.. Mengapa?? kerana mereka tidak ada masalah seperti orang dewasa hahahaha... |
Tinggal di Selangor, lahir di Perak, orang Banjar dan keluarga bertutur dialek Utara. Fleksibel dan tiada terikat dengan mana-mana negeri.. Nama diberi ialah Muhammad Akmal Afiq Bin Ismail. Gambar ini diambil ketika berusia 2 tahun bersama bapa semasa melawat Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Sabah.
Subscribe to:
Comments (Atom)






































